Rakyat Malaysia menghabiskan hampir suku daripada hari mereka di media sosial
May 29th, 2019, Kim Ho

Rakyat Malaysia menghabiskan hampir suku daripada hari mereka di media sosial

Mendedahkan penggunaan dan tabiat media sosial rakyat Malaysia

Pengguna media sosial Malaysia meluangkan masa secara purata lima jam dan empat puluh tujuh minit sehari di seluruh platform, penyelidikan terbaru daripada YouGov mendedahkan.

Data yang diperolehi menunjukkan bahawa satu daripada enam (17%) responden menghabiskan masa lebih daripada sembilan jam sehari untuk menyemak akaun media sosial mereka, berbanding hanya 7% yang berada dalam talian kurang daripada satu jam. Wanita lebih cenderung menghabiskan lebih banyak masa menyemak akaun media sosial mereka berbanding lelaki. Dua daripada sepuluh (21%) wanita menghabiskan masa lebih daripada sembilan jam sehari di media sosial, sementara hanya satu daripada sepuluh (11%) lelaki berbuat demikian.

null

Walaupun purata penggunaan media sosial adalah tinggi, hanya satu pertiga (37%) rakyat Malaysia merasakan mereka menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial. Wanita lebih cenderung berfikiran seperti ini berbanding lelaki (43% vs. 29%). Baki yang separuh lagi (55%) menganggap mereka menghabiskan masa yang secukupnya, dan hanya 7% yang menganggap mereka menghabiskan terlalu sedikit masa di media sosial.

Tinjauan tersebut menunjukkan bahawa sementara tiga daripada sepuluh (29%) rakyat Malaysia telah mencuba “detoks” media sosial– menjauhkan diri daripada media sosial untuk jangka masa yang ditetapkan - enam daripada sepuluh (60%) tidak sanggup menghapuskan akaun mereka secara kekal, walaupun ditawarkan wang.

WhatsApp adalah platform yang paling banyak digunakan di Malaysia, dengan hampir sembilan daripada sepuluh (88%) responden menggunakan aplikasi tersebut sekurang-kurangnya sekali seminggu. Ini diikuti oleh Facebook (81%), YouTube (74%), Instagram (64%) dan Facebook Messenger (40%). Populariti aplikasi media sosial sememangnya bergantung pada jantina. Lebih ramai wanita memilih menggunakan Telegram berbanding lelaki (38% vs. 27%), sedangkan lebih ramai lelaki memilih WeChat (27% vs. 17%).

Data tersebut juga mendapati bahawa motivasi utama rakyat Malaysia menggunakan media sosial adalah untuk mengikuti berita terkini dan peristiwa semasa (72%), diikuti oleh tujuan untuk kekal berhubung dengan rakan-rakan (69%). Sebab-sebab lain termasuk berkongsi foto, video atau kandungan lain dengan orang lain (51%), untuk mencari kandungan lucu atau menarik (48%) dan untuk mengkaji / mencari produk baharu untuk dibeli (45%).

Jake Gammon, Ketua YouGov Omnibus APAC berkata: “Rakyat Malaysia sukakan media sosial. Ia kini merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka iaitu rata-rata rakyat Malaysia yang mempunyai akaun menghabiskan hampir suku daripada masa mereka setiap hari di platform media sosial. Dalam zaman pemasaran digital ini, memahami hubungan pengguna dengan akaun media sosial mereka adalah penting dalam mendekati rakyat Malaysia yang tidak pernah berenggang dengan telefon mereka.”